Sunday, 5 May 2013

Pengenalan

Salam kelahiran,

Saya dilahirkan pada 10 haribulan 4 1960 di satu daerah di kawasan pendalaman di Terengganu. Bapa saya seorang petani dan ibu saya seorang surirumah yang kadang-kadang membantu usaha pertanian bapa saya dan pada hari minggu (sabtu) menjual kuih-muih di pekan sehari. Saya mempunyai nenek yang tinggal di pinggiran bandar Kuala Terengganu. Memandangkan tempat kelahiran saya di pendalaman, ibu telah menyerahkan saya kepada nenek dengan harapan saya boleh dibesarkan di persekitaran yang agak bandar dengan kemudahan pendidikan yang jauh lebih baik daripada di pendalaman, tempat kelahiran saya.

Ini kerana, semua adik-adik ibu saya yang masih belum berkahwin bersekolah di peringkat yang lebih tinggi dan 3 orang daripadanya adalah bersekolah Inggeris di Kuala Terengganu. Saya boleh dikatakan sebagai seorang anak yang bertuah kerana ibu-ibu saudara saya telah berjaya menanam di jiwa saya untuk seorang anak Melayu miskin mencapai kejayaan hanyalah melalui pelajaran. Akan saya kenang segala daya usaha ibu saudara saya yang telah begitu gigih mendidik saya dan menjaga saya sehinggalah saya berjaya menyertai Program " Special Class" yang pada masa itu telah diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak di dalam transformasi anak-anak Melayu miskin pendalaman.

Program tersebut adalah dengan memilih pelajar-pelajar dari darjah 5 sekolah kebangsaan yang telah mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan yang dinamakan Peperiksaan Penilaian pada masa itu.  Bagi mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan tersebut, saya telah dibangunkan dari tidur oleh ibu-ibu saudara saya pada jam 5 pagi untuk mengulangkaji pelajaran. Semasa saya mengulangkaji pelajaran di dinihari tersebut, saya telah dibekalkan dengan kopi pekat dan kuih bahulu. Perjuangan tersebut telah memberi kesedaran kepada saya bahawa walaupun Tanah Melayu ini kepunyaan orang Melayu, tetapi, sesuatu itu tidak semestinya datang bergolek jika tidak disertakan dengan usaha yang gigih.

Oleh kerana kemiskinan datok dan nenek saya yang mempunyai anak yang ramai (8 orang semuanya), saya membantu datok saya di dalam perniagaan ikan kering dan tanaman padi serta kebun limau datok saya dengan upah 20 sen satu minggu. Saya juga membantu nenek saya di dalam perniagaan ketupat pulutnya yang dijual di Pasar Besar Kedai Payang pada setiap hari. Pada musim banjir iaitu musim tengkujuh di Pantai Timur  (bulan Disember setiap tahun) saya bersama datuk dan ibu serta bapak saudara terpaksa menyelam di sawah datok untuk menggali ubi-ubi keledek disawah datok untuk mengelakkannya menjadi busuk dan untuk dijual.

KISAH ANAK MELAYU MISKIN INI AKAN BERSAMBUNG DITARIKH LAIN.

PERINGATAN:
Majoriti orang-orang Melayu kita adalah berasal dari latarbelakang yang lebih kurang sama dengan saya. Oleh yang demikian janganlah kita dilupakan dan dilalaikan oleh sedikit kejayaan yang kita kecapi sekarang sehingga kita lupa warna kulit kita dan asal usul kita. Janganlah kita rasa kita tergolong di dalam golongan ekslusif dan elitis hanya kerana sebuah bungalow dan sebuah mercedes (BMW) - orang lain akan sentiasa berjuang untuk meminta dari kita - dahulu diminta kerakyatan (kita bagi), kemudian kekayaan ( sudah diperolehi) dan sekarang mereka ingin berkuasa pula sebagaimana yang digambarkan dengan jelas didalam PRU 13. JANGAN SAMPAI MENANG SORAK KAMPONG TERGADAI.

Bermulanya Satu Perjuangan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum dan salam sejahtera Malaysia.

Subhanallah walhamdulillah walaillah haillallah wallahuakhbar